KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan penghargaan tertinggi kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas kepimpinan dan inisiatif baginda yang membawa nafas baharu kepada skuad Harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, pendekatan dan sentuhan Tunku Mahkota mula menunjukkan hasil selepas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
“Kemenangan ini amat bermakna kerana selepas 11 tahun, Malaysia akhirnya berjaya menewaskan Vietnam yang sinonim sebagai kuasa besar bola sepak ASEAN.
“Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas komitmen serta perhatian baginda dalam usaha merevolusikan Harimau Malaya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai titik mula yang positif bagi era baharu bola sepak kebangsaan dan yakin bahawa Harimau Malaya mampu terus mengukir kejayaan lebih gemilang di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Mohd Joehari turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas sokongan berterusan terutamanya dari segi peruntukan kewangan yang disalurkan bagi memperkukuh skuad negara.
“Bantuan ini amat penting dalam memacu pembangunan bola sepak negara dan menyuntik motivasi tinggi kepada pemain untuk terus berjuang demi negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan buat penyokong setia Harimau Malaya khususnya kumpulan Ultras Malaya yang kembali menyemarakkan suasana di Bukit Jalil dengan sorakan padu sepanjang perlawanan.
“Semangat dan sokongan daripada ‘pemain ke-12’ ini amat bermakna.
“Ia menjadi pembakar semangat utama kepada skuad kebangsaan untuk terus menampilkan aksi terbaik di atas padang,” katanya.








