FAM tubuh jawatankuasa bebas siasat ‘silap teknikal’

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah tegas dengan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran yang membawa kepada hukuman berat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, berkata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman turut digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan dengan telus dan tanpa gangguan.

“Bagi mengelakkan isu sama berulang dan menepati piawaian bola sepak antarabangsa, Setiausaha Agung FAM akan digantung sementara daripada tugas mulai hari ini,” katanya dalam sidang media khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Menurutnya, penggantungan itu bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya langkah tanggungjawab bagi memastikan semua fakta disiasat secara bebas tanpa sebarang campur tangan.

“FAM mahu keadilan ditegakkan dan kebenaran didedahkan. Setiausaha Agung sebagai ketua sekretariat bertanggungjawab penuh terhadap perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata, jawatankuasa bebas berkenaan akan dianggotai pakar undang-undang, pegawai pentadbiran berpengalaman serta wakil luar bagi meneliti semula keseluruhan proses dokumentasi pemain warisan yang menjadi isu.

“Kami akan serahkan semua dokumen dan laporan berkaitan kepada jawatankuasa ini. Hanya selepas siasatan selesai, keputusan serta langkah penambahbaikan akan diumumkan,” katanya.

FIFA sebelum ini mengenakan denda RM1.8 juta terhadap FAM dan menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib berkaitan dokumen rasmi. Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman turut digantung tugas sementara bagi memberi laluan kepada siasatan penuh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat