Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kerjasama dengan syarikat rakaman muzik, Warner Music Malaysia (WMM) untuk menghasilkan lagu rasmi pasukan bola sepak kebangsaan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff yang mengakui teruja dengan kerjasama ini berkata, muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.
“Ia juga antara salah satu cara di mana kita dapat menghubungkan generasi ke generasi dan saya amat teruja untuk melihat lagu rasmi bola sepak kebangsaan oleh WMM menarik rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum.
“Selain itu, saya pasti menerusi lagu rasmi bola sepak kebangsaan ini, ia dapat membakar semangat pemain-pemain Harimau Malaya apabila turun beraksi demi negara pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.
“Besar harapan saya agar jalinan kerjasama menyatukan dua elemen yang kuat bola sepak dan muzik untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi semua peminat Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pengarah Artis dan Repertoir (A&R) WMM, Raqeem Brian.
Sementara itu, Pengarah Urusan WMM, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya berasa bangga dan teruja menjadi rakan penaja muzik rasmi pertama untuk FAM.
“Bolasepak adalah sukan yang sangat disukai oleh semua rakyat Malaysia dan kami berbangga menyokong pasukan kebangsaan kami, Harimau Malaya, di dalam dan di luar padang.
“Ini adalah peluang yang sangat baik bagi kami untuk menunjukkan komitmen kami dalam menyokong kedua-dua sukan dan muzik industri di Malaysia dan kami berharap kerjasama ini juga akan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Baca juga: