Fama sasar 7.2 juta isi rumah terima manfaat Jualan Agro Madani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengharapkan agar 7.2 juta isi rumah berpeluang untuk menikmati manfaat daripada 5,000 program Jualan Agro Madani 2024 di seluruh negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abd Rahman Mahmood, sasaran tersebut lebih tinggi berbanding 6.4 juta yang ditetapkan pada tahun lalu.

Katanya, pada 2023, Fama berjaya memberi manfaat kepada 10.5 juta pengguna atau 164 peratus berbanding sasaran melalui 5,721 program Jualan Agro Madani yang diadakan di seluruh negara.

“Sehingga Disember tahun ini, 5,000 program yang disasarkan itu dijangka akan mencatat nilai jualan sebanyak RM57.5 juta.

“Inisiatif program juga akan memberi manfaat kepada 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan berjumlah RM17.25 juta,” katanya di Program Jualan Agro Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bahru, Kelantan pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Fama Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

Tambah Abd Rahman, Fama tahun ini mengambil pendekatan dengan memperluas pelaksanaan program kepada peruncitan Fama di seluruh negara, antaranya pasar tani, pasar tani kekal dan Agrobazaar.

Ujarnya, program berkenaan memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama seperti ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit selain beras.

“Keutamaan pelaksanaan program ialah di kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dengan pecahan kluster lokasi termasuk kompleks kerajaan, kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan outlet peruncitan FAMA.

“Program ini akan meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan makanan pada kadar harga yang munasabah sekali gus mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat