Farah Lee Dedah Tudung Direntap Tentera Israel

Oleh: Tyah Helmi

SEPANG: Aktivis dan selebriti Farah Lee tampil menceritakan detik memilukan ketika beliau ditahan secara paksa oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini termasuk insiden tudungnya direntap dan maruahnya sebagai wanita Muslim dicabuli.

Pada sidang media yang diadakan sejurus tiba di KLIA pada Selasa malam, Farah menceritakan bagaimana beliau terpaksa menggunakan cebisan baju t-shirt berwarna putih untuk menutup rambut dan kepalanya selepas tudung asalnya dirampas oleh pihak berkuasa Israel.

“Jika kalian lihat di kepala saya, ini adalah simbol ‘sumud’, kami wanita delegasi global sumud flotilla, di mana hak kami untuk mengamalkan agama Islam ditindas, tudung kami dirampas.

“Kami dimalukan di hadapan lelaki ajnabi dengan tidak memakai tudung dan kami terpaksa mengambil t-shirt putih itu untuk menutup rambut dan juga kepala kami untuk menjaga, maruah kami sebagai seorang wanita di sana,” katanya.

Farah turut berkongsi bahawa sepanjang penahanan, mereka disekat daripada mendapat akses kepada keperluan asas seperti air bersih, rawatan perubatan dan alatan kebersihan wanita yang menurutnya satu bentuk penindasan dan ianya hanya mewakili sebahagian kecil daripada penderitaan sebenar rakyat Palestin.

“Bermacam-macam (serangan) tapi itu hanyalah satu peratus daripada permintaan dan hak, asasi manusia yang ditindas di dalam palestin dan di dalam Gaza,” ujarnya.

Walaupun melalui pengalaman yang menyakitkan, Farah menyatakan rasa bangga terhadap sokongan padu rakyat Malaysia yang menyambut kepulangan mereka dengan semangat solidariti yang tinggi.

“Jadi kami berasa bangga dengan suara-suara yang kuat menyambut kami, suara-suara inilah yang digunakan untuk kebebasan Palestin sehingga akhirnya,” katanya.

Dalam pada itu, Farah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil, sebagai peluang untuk mendengar sendiri kisah dan pengalaman setiap delegasi yang terlibat dalam misi GSF.

Anda Mungkin Berminat