PARLIMEN | Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan memasuki Fasa Kedua mulai September ini, melibatkan hampir 3,000 tapak baharu di seluruh negara dalam usaha memperluas capaian internet.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, berbeza dengan pendekatan sebelumnya, fasa ini bakal menggunakan teknologi hibrid dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembinaan menara komunikasi konvensional.
Sebalik katanya, struktur ‘monopole’ setinggi 30 meter akan digunakan mengikut keperluan lokasi bagi mempercepatkan pelaksanaan dan menangani isu capaian dengan lebih cekap.
“Bagi fasa dua, kita tidak berhasrat membina menara semata-mata kerana ada kawasan yang tidak memerlukan struktur setinggi 76 hingga 60 meter.
“Mungkin monopole setinggi 30 meter lebih sesuai dan mempercepatkan pelaksanaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berhubung isu capaian 4G dan 5G di kawasan pedalaman Julau khususnya di sekolah-sekolah luar bandar yang masih terjejas.
Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menyeru syarikat telekomunikasi yang mempunyai capaian lemah supaya segera mengambil langkah pembaikan.
“Usaha memperluas capaian internet yang stabil dan berkualiti amat penting khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar,” tegas beliau.