PETALING JAYA: Agenda reformasi institusi negara melangkah ke fasa baharu apabila inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki Fasa Kedua pelaksanaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan tersebut telah diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diketuai oleh Timbalan beliau, M. Kulasegaran.
“Inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki Fasa Kedua pelaksanaan, selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh seperti yang diperincikan dalam Laporan Akhir Kajian Komparatif yang telah saya serahkan kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diketuai oleh Timbalan saya, M.Kulasegaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, laporan tersebut merumuskan hasil kajian komprehensif yang merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa serta pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah.
Katanya, kajian itu menjadi asas penting bagi memastikan reformasi dilaksanakan dengan penuh teliti dan berkesan.
Azalina berkata, fasa kedua pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan struktur institusi, penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan.
Mesyuarat yang berlangsung turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi JKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi JKPK Semakan Undang-Undang, Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; Peguam Cara II Negara, Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar serta Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ezri Wahab bersama beberapa pegawai kanan kementerian dan agensi.
Azalina berkata, langkah itu mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Langkah ini mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat sejajar dengan kerangka falsafah Malaysia MADANI,” katanya.








