PETALING JAYA: Pelaksanaan MyKad struktur baharu yang diperkenalkan bermula Jun 2026 seiring perkembangan zaman.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ciri keselamatan yang dipertingkatkan itu lebih melindungi rakyat.
“Bermula dengan kad berasaskan kertas pada tahun 1948, kemudian melalui pelbagai perubahan dan penambahbaikan.
“Hari ini, kita melangkah ke satu lagi fasa penting dengan pengenalan versi baharu Kad Pengenalan Malaysia yang tampil dengan reka bentuk terkini serta ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi melindungi identiti rakyat daripada risiko pemalsuan dan penyalahgunaan,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.
Tambahnya lagi, MyKad baharu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri kelak, turut membawa penambahbaikan yang lebih menyeluruh, termasuk peningkatan ciri keselamatan daripada 23 kepada 53 ciri pada versi baharu.
“Evolusi ini mencerminkan bagaimana negara kita sentiasa menyesuaikan diri dengan cabaran semasa, khususnya dalam aspek keselamatan dan perlindungan identiti rakyat,” katanya lagi.
Menurut rekod, pelaksanaannya dibuat secara berfasa, dan rakyat tidak diwajibkan untuk menukar kad lama serta-merta. Kad sedia ada masih sah digunakan.
Baca juga:








