Fasa Peralihan Monsun Bermula 29 Mac, MET Malaysia Ingatkan Orang Ramai Waspada

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac dan berterusan sehingga Mei 2026.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November lalu.

“Keadaan ini lazimnya membawa kepada hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sepanjang tempoh peralihan, negara dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan ribut petir.

Fenomena itu dijangka berlaku di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.

Mohd Hisham berkata, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Sehubungan itu, MET Malaysia menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan sentiasa peka terhadap ramalan serta amaran cuaca rasmi.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial rasmi MET Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian hotline jabatan di 1-300-22-1638.

Anda Mungkin Berminat