Fatwa Dicabar SIS, PEMBELA Anggap Ancaman Serius Terhadap Islam

PETALING JAYA: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menganggap cabaran Sister In Islam (SIS) Forum (Malaysia) terhadap fatwa Selangor 2014 di Mahkamah Persekutuan sebagai ancaman serius terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan media hari ini, PEMBELA memandang tindakan SIS sebagai usaha menggagalkan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu terlibat dalam fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Fatwa merupakan ketetapan hukum yang sah, digubal oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan mengikat orang Islam di negeri berkenaan.

“Cubaan membawa isu ini ke Mahkamah Sivil jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa agama di bawah Mahkamah Syariah dan Raja-Raja sebagai ketua agama negeri,” kata kenyataan itu.

PEMBELA berkata, walaupun SIS Forum Berhad didaftarkan sebagai syarikat di bawah Akta Syarikat, tujuan, visi, misi, keahlian dan aktiviti mereka berkait secara langsung dengan hal ehwal Islam dan umat Islam.

Sehubungan itu, katanya, SIS perlu tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama termasuk fatwa yang telah digazetkan.

“Tiada mana-mana individu, pertubuhan atau syarikat boleh menjadikan nama Islam sebagai platform dalam menyebarkan ajaran berkait Islam kepada masyarakat umum tanpa tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan menurut undang-undang dan juga syarak,” katanya.

PEMBELA turut menyeru umat Islam untuk menolak serta melaporkan sebarang bentuk penyelewengan terhadap ajaran Islam kepada pihak berkuasa agama.

“Ini termasuk individu atau organisasi yang memperalatkan kebebasan bersuara untuk menyesatkan masyarakat,” tambahnya.

PEMBELA menyokong penuh titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar seluruh masjid dan surau mengadakan solat hajat khas pada 6 dan 13 Jun 2025.

“Titah ini mencerminkan keprihatinan institusi di-Raja terhadap ancaman terhadap institusi Islam dan kedudukan agama dalam Perlembagaan,” ujarnya.

PEMBELA berkata, kes ini adalah ujian terhadap kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, mereka akan terus komited dalam mempertahankan kesucian akidah umat Islam daripada ancaman ideologi yang menyeleweng.

Untuk rekod, SIS Forum telah mencabar keabsahan fatwa yang diwartakan oleh pihak berkuasa agama negeri pada 17 Julai 2014 yang mengisytiharkan organisasi itu serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Cabaran ini bermula di Mahkamah Tinggi pada 2020, kemudian dirayu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Mac 2023 yang secara majoriti menolak rayuan tersebut.

Bagaimanapun, SIS Forum meneruskan cabaran dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang kini menanti keputusan muktamad pada pertengahan bulan ini.

Anda Mungkin Berminat