SHAH ALAM: Pemikiran liberalisme dan pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan dalam masyarakat.
Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Anhar Opir berkata, walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dihormati, fatwa berkenaan yang diwartakan pada 31 Julai 2014 kekal sah dan terpakai terhadap individu beragama Islam.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan atau menafikan keabsahan fatwa terhadap individu Muslim termasuk larangan menganut fahaman pluralisme dan liberalisme serta apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, fatwa berkenaan dikeluarkan mengikut tatacara yang menepati kehendak hukum syarak dan prinsip maqasid syariah, antaranya menjaga agama, akal dan keturunan.
Beliau juga menjunjung kasih dan berdiri teguh bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menzahirkan rasa dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan yang menyatakan fatwa berkenaan tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia kerana ia merupakan pertubuhan, dan hanya terpakai kepada individu,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti menasihatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan fahaman songsang yang disebarkan atas nama kebebasan atau hak asasi manusia termasuk melalui media sosial, forum terbuka dan penulisan.
“Jadikanlah neraca hukum Islam sebagai rujukan utama dan bukan semata-mata logik akal kerana ia boleh menjejaskan akidah,” katanya.
Jabatan itu turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi berkaitan NGO dan individu bagi membendung sebarang fahaman atau ideologi menyeleweng yang bertentangan dengan ajaran Islam.