FELDA Bangkit Dengan Transformasi, Jadi Legasi Pembangunan Negara – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Amanat Bersama Warga Kumpulan FELDA dengan penuh rasa kagum terhadap pencapaian terkini agensi itu yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Beliau berkata, petunjuk prestasi FELDA kini memperlihatkan kemajuan jelas daripada segi pengeluaran hasil, pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan pelbagai program berteraskan kesejahteraan keluarga peneroka.

“Dalam majlis amanat bersama warga Kumpulan FELDA, saya hadir dengan perasaan penuh kagum susulan petunjuk prestasi terkini yang memperlihatkan peningkatan memberangsangkan dari segi pengeluaran hasil, pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan pelbagai program yang berteraskan kesejahteraan keluarga peneroka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar mengakui perjalanan FELDA tidak pernah sunyi daripada cabaran termasuk melalui fasa yang amat mencabar.

Namun katanya, pengalaman tersebut menjadi iktibar penting untuk bangkit dengan lebih kukuh.

“Perjalanan FELDA tidak pernah sunyi daripada pasang surut termasuklah melalui fasa yang amat mencabar, namun pengalaman tersebut menjadi iktibar penting untuk bangkit dengan lebih kukuh,” katanya.

Daripada pengalaman itu, beliau berkata, FELDA kini melaksanakan pelbagai langkah transformasi termasuk pendigitalan operasi, pengukuhan inovasi, pembangunan rantaian nilai serta penekanan kepada agenda kemampanan.

Anwar berkata, pendekatan itu selari dengan keutamaan agenda nasional termasuk usaha mempercepat pemodenan ekonomi dan peralihan tenaga.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa asas nilai, integriti dan akhlak mesti terus dipelihara sebagai panduan setiap usaha pembangunan.

“Namun dalam kita melangkah ke hadapan, asas nilai, integriti dan akhlak mesti terus dipelihara sebagai teras yang memandu setiap usaha pembangunan yang kelak bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli dan peneroka tetapi juga menjadi legasi pembangunan yang membanggakan buat negara,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat