FELDA, FGV Hargai Kerjasama Terengganu, Operasi Ladang Disambung Semula

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad menyatakan penghargaan terhadap pendekatan konstruktif serta keterbukaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan di negeri itu.

Kedua-dua pihak mengambil maklum kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026 bagi membolehkan rundingan diteruskan secara harmoni dan memberi kepastian kepada semua pihak terlibat.

Hasil perbincangan positif tersebut turut membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang pada Selasa, seperti yang dipersetujui bersama.

Perkembangan itu memberi kelegaan besar kepada peneroka yang sebelum ini berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, masa depan keluarga serta kelangsungan kehidupan.

Menurut FELDA dan FGV, keutamaan sejak awal adalah memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara khususnya daripada segi keselamatan ekonomi dan kesejahteraan emosi anak jati Terengganu.

“Dengan penarikan notis terbabit, kami kini dapat meneruskan operasi seperti biasa dan memberi tumpuan kepada peningkatan hasil serta pengukuhan pendapatan keluarga peneroka,” menurut kenyataan bersama itu.

Menurutnya, kepastian yang dicapai diyakini dapat mengembalikan keyakinan pekerja serta memastikan kestabilan ekosistem ekonomi setempat terus terpelihara.

Langkah itu juga dilihat sebagai bukti komitmen semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dalam pengurusan tanah rancangan.

Untuk rekod, FELDA dan FGV sejak penubuhan menjadikan peneroka sebagai tunjang utama pembangunan.

Justeru, kerjasama berterusan dengan Kerajaan Negeri Terengganu amat penting bagi mempertahankan kesejahteraan komuniti tanah rancangan dan memastikan kelangsungan generasi peneroka.

Anda Mungkin Berminat