FELDA Mesti Terlibat Dalam Pembangunan Negara – Anwar

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak boleh lagi dianggap sebagai kawasan terasing, sebaliknya mesti menjadi sebahagian daripada arus perdana pembangunan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, semua kementerian dan jabatan kerajaan telah diarahkan supaya memastikan kawasan FELDA turut menerima manfaat daripada setiap projek baharu.

“Saya telah arahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya semua jabatan dan kementerian, jika ada projek atau ikhtiar baharu, jangan tinggalkan FELDA sebagai kawasan yang terasing.

“Setiap kemudahan kerajaan dari segi pendidikan dan sosial mesti turut melibatkan kawasan FELDA,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga FELDA di Menara FELDA pada Khamis.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut Anwar, pendekatan lama yang melihat FELDA seolah-olah mampu bergerak sendiri tanpa integrasi dengan dasar nasional perlu dihentikan.

Beliau berkata, FELDA kini menunjukkan prestasi lebih baik daripada segi pengeluaran hasil, tadbir urus dan pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada keluarga peneroka.

Anwar turut mengakui FELDA pernah melalui fasa sukar termasuk keputusan menyahsenaraikan FGV Holdings daripada Bursa Malaysia.

Namun katanya, cabaran tersebut kini menjadi pemangkin untuk memperkukuh kedudukan agensi berkenaan.

Perdana Menteri memuji langkah pengurusan FELDA yang menggerakkan agenda transformasi digital dalam operasi, selain memberi penekanan kepada inovasi, rantaian nilai dan kemampanan.

Beliau turut mencadangkan agar sambutan ulang tahun ke-70 FELDA diadakan secara besar-besaran di kawasan FELDA sendiri, dengan penglibatan syarikat berkaitan seperti Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Anwar menutup amanat dengan keyakinan bahawa melalui tekad, kerjasama berpasukan dan sokongan kerajaan, FELDA mampu terus menjadi model pembangunan tanah yang menjadi legasi penting negara.

Anda Mungkin Berminat