Fenomena Bantut di Malaysia: Kebimbangan Terhadap Pemakanan, Pertumbuhan Fizikal

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kebimbangan semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia mengenai isu purata ketinggian yang lebih rendah berbanding negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

Perbincangan hangat di platform X sejak kebelakangan ini menyoroti faktor-faktor yang menyumbang kepada fenomena tersebut.

Seorang penulis bebas, Muz Ghostwriter, tampil mengulas mengenai isu ini dengan berkata, genetik dan nutrisi memainkan peranan utama dalam menentukan ketinggian seseorang.

“Ketinggian dipengaruhi dua faktor: genetik (80%) dan nutrisi (20%), perbezaan ketinggian Afrika dengan Malaysia dipengaruhi oleh genetik.

“Tapi perbezaan ketinggian ‘East Asian’ dengan Malaysian dipengaruhi nutrisi,” katanya.

Perdebatan semakin hangat apabila personaliti media sosial, Datuk Hensem, membangkitkan isu pemakanan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak Malaysia, khususnya kekurangan protein sejak usia muda.

Beliau mempersoalkan perbezaan ketara antara ketinggian atlet bola tampar Malaysia dan China dalam satu temasya sukan yang mencetuskan perbincangan mengenai purata ketinggian rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.

“Umur mereka sama tapi dari sini pun kita boleh nampak siapa makan banyak protein vs siapa yang bantut atau malnourished,” katanya dalam ciapan di platform X.

Menurutnya, negara-negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun yang dahulunya terkenal dengan purata ketinggian yang lebih rendah kini telah jauh meninggalkan Malaysia.

“Antara sebab aku mintak kerajaan tekankan betapa pentingnya untuk anak-anak Malaysia dapat protein secukupnya sejak kecil.

“Negara-negara seperti China, Korea, Jepun yang orangnya ‘pendek’ sebelum ni dah jauh tinggalkan kita,” tambahnya.

Datuk Hensem turut mempersoalkan harga makanan di Malaysia yang didakwa membebankan rakyat untuk mendapatkan makanan segar dan berkhasiat.

“Hanya di Malaysia, daging merah dan buah-buahan lebih mahal daripada makanan yang ‘ultra processed’,” katanya.

Sebagai perbandingan, beliau berkata, di negara seperti Singapura dan Australia, barangan keperluan dan makanan asas dijual pada harga lebih munasabah dan menjadikan pemakanan sihat lebih mudah dicapai oleh rakyat mereka.

Dalam ruangan komen ciapan beliau, ramai warga X turut menyuarakan kebimbangan mengenai kadar kekurangan zat makanan di Malaysia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di kawasan bandar dan luar bandar.

“Pengambilan makanan ‘ultra processed’ secara berlebihan juga dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan jangka panjang termasuk obesiti dan pertumbuhan terbantut,” kata salah seorang pengguna.

Perbincangan ini mencetuskan gesaan supaya kerajaan memperkukuh dasar pemakanan nasional dan memastikan akses kepada makanan berkhasiat dapat dipertingkatkan untuk semua golongan terutamanya kanak-kanak yang sedang membesar.

Anda Mungkin Berminat