Oleh: Aliyaa Azmi
SUDAH dua minggu lebih Khairul Aming (KA) aktif berkongsi resipi di media sosial, mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengikutnya untuk mencuba menu-menu yang dikongsikan.
Namun, tahun ini, sesuatu yang lebih mencuit hati mencuri tumpuan apabila ramai netizen berkongsi pengalaman ‘derhaka’ terhadap resipi KA, mencetuskan fenomena lucu di media sosial.
Di platform TikTok, ramai pengguna mencuba resipi yang dikongsikan KA sempena Ramadan. Namun, hasilnya tidak seperti diharapkan – ada ayam yang hangus, kuih yang tidak menjadi, dan pelbagai lagi insiden lucu.
Seorang pengguna TikTok, @havocadoo, cuba meniru resipi ‘Hot Chicken Tenders’ tetapi berakhir dengan kuali yang hampir terbakar, membuatkan netizen lain terhibur dengan gelagatnya.
Melihat kegagalan-kegagalan ini, KA sendiri tidak dapat menahan rasa terhibur. Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, KA kelihatan terdiam melihat hasil masakan pengikutnya yang jauh menyimpang dari versi asal.
KA kemudian memainkan ceramah dengan latar muzik sayu, menambah elemen kelakar yang membuatkan ramai netizen tidak kering gusi.
Menyedari fenomena ini, KA menasihati pengikutnya untuk mengikuti langkah dan sukatan resipi dengan tepat.
KAmenekankan bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan mengingatkan agar tidak ‘menderhaka’ pada resipi yang telah dikongsikan.
Gara-gara ramai yang gagal meniru resipi masakannya, KA tampil berkongsi semula resipi menu masakannya secara langsung.
KA juga berseloroh bahawa tahun ini merupakan tahun paling menghiburkan melihat gelagat netizen yang mencuba resipi-resipinya di dapur.
Fenomena ini bukan sahaja menceriakan suasana Ramadan tetapi juga menunjukkan bagaimana resipi viral mencipta interaksi dan keterlibatan komuniti digital.
Walaupun gagal, ramai tetap terhibur dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial, menjadikan memasak bukan sekadar tentang hasil, tetapi juga pengalaman bersama dan kemeriahan Ramadan.
Dalam dunia masakan, gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Yang penting, terus mencuba… atau kalau malas, bazar Ramadan sentiasa ada!
Baca juga: