Fenomena ‘Jamilah’: Que Haidar Cipta Gelombang, Zara Zya Ikut Serta

PETALING JAYA: Lagu klasik Melayu ‘Jamilah’ kini kembali mencuri perhatian selepas pelakon Que Haidar mencetuskan gelombang tular di media sosial dengan video ‘lip sync’ yang santai tetapi penuh pesona.

Dalam video yang dimuat naik, Que tampil dengan tubuh sasa dan ekspresi wajah serius namun menghiburkan, mencipta kontras yang memikat hati ramai khususnya wanita pertengahan usia dan golongan ibu yang terpukau dengan karismanya.

Fenomena itu mencetuskan ledakan kreativiti apabila lagu ‘Jamilah’ kembali menjadi siulan.

Ramai wanita tampil menghasilkan video parodi dengan gaya tersendiri, malah berseloroh mahu menukar nama kepada ‘Jamilah’ gara-gara terpesona dengan aura Que.

Trend itu bukan sahaja meriah dalam kalangan pengguna biasa, malah turut menarik perhatian selebriti tanah air.

Pelakon popular Zara Zya antara yang menyahut cabaran dengan memuat naik video parodi mengenakan baju kurung dan beraksi ayu sambil mengiringi lagu ‘Jamiah’.

Video tersebut menerima sambutan luar biasa dengan ribuan tontonan dan komen yang memuji penampilan Zara sebagai ‘cantik serta menawan’.

Menambah kemeriahan, Que Haidar sendiri meninggalkan komen di ruangan hantaran Zara sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap rakan artisnya.

Antara komen warganet, pengguna bernama Alyantsha berseloroh bahawa “ramai rakyat Malaysia kini mahu menamakan diri mereka Jamilah,” manakala Mawar_Merah pula mengakui dirinya “tidak dapat melupakan Que Haidar selepas menonton video tersebut.”

Fenomena ‘Jamilah’ kini menjadi topik hangat di TikTok dan pelbagai platform lain, memperlihatkan semangat humoris dan kreativiti rakyat Malaysia.

Walaupun bermula sebagai hiburan ringan, trend ini secara tidak langsung menyerlahkan pengaruh besar selebriti tempatan terhadap budaya pop digital.

Ia juga membuktikan bagaimana lagu-lagu klasik boleh dihidupkan semula dalam bentuk yang segar dan menghiburkan generasi masa kini.

Anda Mungkin Berminat