KUCHING: Penduduk Bintulu gempar dengan kemunculan cahaya pelik di langit malam tadi yang jelas kelihatan sekitar jam 8.30 malam di beberapa kawasan termasuk Tanjung Kidurong, Kampung Jepak dan pusat bandar.
Fenomena berkenaan mencetuskan pelbagai spekulasi apabila video serta gambar cahaya yang kelihatan seperti tiang bercahaya tular di media sosial, termasuk dakwaan kehadiran makhluk asing.
Namun, penggemar astronomi, Dr Zurwina Sharkawi menjelaskan cahaya itu sebenarnya fenomena optik semula jadi dikenali sebagai light pillars atau tiang cahaya.
Katanya, fenomena itu berlaku apabila cahaya dipantulkan oleh kristal ais berbentuk rata yang terapung di udara, biasanya dalam keadaan sejuk atau lembap pada waktu malam, lalu menghasilkan jalur cahaya menegak di langit.
“Tiang cahaya ini bukanlah pancaran sebenar dari langit, sebaliknya kesan pantulan cahaya buatan manusia seperti lampu jalan apabila mengenai kristal ais di atmosfera,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau membuat spekulasi tidak berasas kerana penjelasan saintifik fenomena itu boleh diakses dengan mudah.
Baca juga: