KUANTAN: Festival Fitrah Indera Mahkota (FFIM) 2025 berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung dengan pelbagai pengisian berteraskan ilmu, kerohanian dan kebajikan masyarakat.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi berkata, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila Jualan Rahmah berjaya mencatatkan rekod jualan sebanyak RM70,000.
“Ini membuktikan sokongan padu rakyat terhadap inisiatif murni ini sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Acara kemuncak FFIM malam tadi turut diserikan dengan persembahan artis tanah air Mawi, kumpulan qasidah Nur Ahli Badar serta kumpulan nasyid terkenal Raihan yang menghidupkan suasana dengan alunan zikir dan nasyid.
Dalam pada itu, Forum Perdana yang menampilkan Syeikh Dr. Jamil Sadaqi Al Jarumi dan Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin turut menyentuh hati para hadirin dengan perkongsian mengenai konsep negara dan masyarakat madani.
Antara yang ditekankan ialah kepentingan kasih sayang sesama insan, penerimaan terhadap perbezaan serta amalan bertolak ansur sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah SAW ketika memimpin masyarakat di Madinah.
Farhan turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan budaya tabayyun, iaitu menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, bagi mengelakkan fitnah yang boleh memecah-belahkan keharmonian.
“Jika sikap ini dipupuk, insya-Allah masyarakat kita akan lebih harmoni dan terhindar daripada fitnah,” katanya.
FFIM 2025 diharap dapat terus menjadi wadah dalam menyemai kasih sayang, membina ilmu serta menanam sifat husnuzon dalam kalangan masyarakat.
Baca juga:








