PETALING JAYA: Festival Taman Kuala Lumpur 2025 menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung, satu peningkatan ketara berbanding 150,000 pada penganjuran sebelumnya, sekali gus dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, festival yang akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa itu mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, untuk menyempurnakan majlis pelancarannya.
“Festival ini bukan sekadar pameran bunga dan taman, tetapi platform menyatukan komuniti, memperindah bandar dan memperkukuh industri hortikultur tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, festival itu juga dijangka memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan, pengangkutan awam, perhotelan dan perusahaan kecil serta sederhana di Kuala Lumpur.
Dr Zaliha berkata, penganjuran festival tersebut melengkapkan rangkaian festival flora di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Floria Diraja Putrajaya dan Borneo Flora Festival di Labuan.
“Floria Diraja Putrajaya kini ikon taman nasional dengan sejuta pengunjung setiap tahun, manakala Borneo Flora Festival di Labuan berjaya menampilkan keindahan flora Borneo dengan sambutan ratusan ribu pengunjung,” ujarnya.
Beliau menambah, Festival Taman Kuala Lumpur turut membuka peluang kepada pengusaha nurseri, floris, pereka landskap, pelajar dan penyelidik memperkenalkan inovasi reka bentuk landskap, teknologi hijau dan solusi lestari tempatan.
Festival berkenaan dilihat mampu memperkukuh rantaian nilai industri hortikultur serta mengangkat kreativiti tempatan ke peringkat antarabangsa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan pembangunan lestari bandar raya Kuala Lumpur.
Baca juga: