Fesyen dibenar dalam Islam, namun ikut hukum syarak – Mufti WP

PETALING JAYA: Fesyen dalam berpakaian adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam namun ia perlu selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam hukum syarak, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa pempengaruh media sosial berpakaian berlawanan jantina pada acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 baru-baru ini.

Tegasnya, Islam mengiktiraf kreativiti dalam berfesyen namun ia tidak boleh dianggap sebagai kebebasan mutlak yang membolehkan seseorang berpakaian atau berfesyen tanpa batasan.

“Adalah haram dan berdosa seseorang menyerupai jantina berlawanan dengan cara berpakaian atau berfesyen yang tidak seiring dengan jantina asal.

“Panduan ini berasaskan dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW yang memberikan batasan tertentu agar pakaian yang dikenakan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga mencerminkan nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam kehidupan seorang Muslim.

“Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki dari sudut pemakaian, perhiasan, gaya percakapan dan cara berjalan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan, begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan seperti yang diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian,” katanya pada Selasa.

Tambahnya, seorang lelaki akan dianggap menyerupai wanita atau seorang wanita akan dianggap menyerupai lelaki boleh dilihat daripada beberapa sudut termasuk cara berpakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan serta mengubah bentuk fizikal badan.

Malah, tegasnya, hukum tasyabbuh (menyerupai jantina berlawanan) adalah haram bahkan salah satu dosa besar sehingga ia salah satu perkara dilaknat oleh Rasulullah SAW

“Secara fitrah, gaya pakaian juga melambangkan jantina seseorang individu sehinggakan terdapat larangan menyerupai pemakaian jantina berlawanan.

“Rasulullah SAW jelas melarang perbuatan tersebut dalam banyak hadis Baginda dengan melaknat sesiapa yang berpakaian bercanggah dengan jantina asal,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat