Fi Lesen Gimnasium KL Turun 80 Peratus Mulai 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI mengumumkan pengurangan kadar fi lesen operasi gimnasium di Kuala Lumpur daripada RM50 kepada RM10 bagi setiap meter persegi, berkuat kuasa Januari 2026.

Langkah itu bermakna penurunan sebanyak 80 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).

Menurut beliau, pengurangan fi lesen adalah sebahagian daripada usaha memperkasa agenda bandar sihat khususnya dalam menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi di kawasan bandar.

Berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023, kadar berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mencecah 32.6 peratus atau kira-kira 6.86 juta orang.

“Tiga kadar tertinggi direkodkan di Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur sebanyak 40.6 peratus, Putrajaya (35.5 peratus) dan Labuan (34.8 peratus).

“Pengurangan fi lesen ini diharap dapat membantu pengusaha mengurangkan kos operasi sekali gus memperluas akses masyarakat kepada kemudahan senaman yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan turut menggalakkan pengusaha menyalurkan manfaat tersebut kepada orang ramai dengan menawarkan diskaun keahlian bagi sesi senaman antara pukul 6.00 hingga 8.00 pagi serta 5.00 hingga 7.00 petang bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak.

Selain itu, kadar khas atau diskaun kepada warga emas juga digalakkan bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.

“Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membina ekosistem bandar yang lebih aktif, inklusif dan menyokong kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat