FIB Tegas Pantau Bayaran Gaji Tertunggak Kelantan Darul Naim FC

KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) menegaskan komitmen untuk memantau secara rapi pelaksanaan pelan bayaran ansuran gaji bagi pasukan bawah 23 tahun Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), selaras dengan syarat pelesenan kelab bagi musim 2024–2025.

FIB memaklumkan, hasil semakan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), tiada tunggakan gaji direkodkan bagi pasukan utama Liga Super KDN FC sehingga tarikh akhir 31 Disember 2024.

Namun begitu, bagi pasukan bawah 23 tahun, KDN FC telah mengemukakan pelan pembayaran ansuran melibatkan tunggakan gaji pemain, disertai surat persetujuan bertulis yang ditandatangani oleh semua pemain terlibat.

Dokumen itu memenuhi keperluan Artikel F.04 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus menilai pelaksanaan pelan tersebut dari semasa ke semasa.

“Kami akan terus memastikan semua pembayaran dilakukan mengikut jadual dan bukti resit bayaran perlu dikemukakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, KDN FC turut menyerahkan surat rasmi kepada KWSP dan PERKESO berhubung permohonan pelan bayaran ansuran yang telah disahkan melalui cop rasmi kedua-dua agensi sebagai tanda sokongan terhadap pelan tersebut.

FIB turut mengarahkan Unit Pelesenan untuk terus meneliti pematuhan terhadap pelan terbabit termasuk memastikan komitmen kelab terhadap agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Sheikh Mohd Nasir memberikan amaran keras kepada semua kelab agar tidak mengemukakan maklumat palsu semasa proses pelesenan.

“Sekiranya berlaku sebarang pengisytiharan tidak tepat untuk mendapatkan lesen musim 2025–2026, siasatan boleh dimulakan serta-merta,” tegasnya.

Pendekatan pemantauan berterusan ini mencerminkan ketegasan FIB dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan pelesenan dan menegakkan prinsip pengurusan kewangan yang telus dalam kalangan kelab Liga Malaysia.

Anda Mungkin Berminat