FIFPro Pertahan Tujuh Pemain Warisan Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro) tampil mempertahankan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini berdepan hukuman penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Hukuman itu disifatkan sebagai ‘sangat tidak seimbang’ memandangkan keadaan khusus yang melibatkan kes berkenaan.

“FIFPro menegaskan bahawa pemain-pemain itu sebenarnya merupakan mangsa dalam isu tersebut.

“Keputusan berkenaan turut mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen, malah mengakui secara jelas bahawa dokumen yang dikemukakan adalah tulen.

“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, adalah jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

FIFPro berkata, pemain tidak mempunyai mekanisme untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA mengenai kelayakan mereka iaitu satu prosedur yang tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa.

Keadaan itu dianggap membimbangkan kerana pemain dipertanggungjawabkan terhadap dokumen yang sebenarnya dikemukakan oleh sebuah persatuan kebangsaan kepada FIFA.

“Ia seolah-olah para pemain diwajibkan mengesahkan dokumen yang bukan mereka sendiri keluarkan atau serahkan,” kata kenyataan itu.

Menurut FIFPro, tujuh pemain terbabit telah melalui semua proses yang ditetapkan iaitu menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani sumpah, menerima pasport sah daripada kerajaan serta menunggu pengesahan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Semua proses itu dikendalikan oleh pihak berkuasa di luar kawalan mereka, namun mereka kini berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing serta implikasi serius lain tanpa sebarang kesalahan,” kata FIFPro lagi.

Sehubungan itu, FIFPro menegaskan sokongan penuh kepada pemain-pemain berkenaan dan menyatakan keyakinan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan tersebut.

Anda Mungkin Berminat