Oleh: Wahida Ramlan
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dalam keadaan bersiap sedia bagi aksi Final Piala FA menentang Selangor FC (SFC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.
Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dalam mengungkapkan bahawa pasukan JDT tidak akan memberi laluan mudah dan akan mengekalkan status selaku Juara bertahan dengan memegang trek rekod serta prestasi membanggakan mereka selama ini.
“Alhamdulillah, dalam laluan ke Final Piala FA, dari keseluruhan lima perlawanan menyaksikan pasukan JDT hanya melepaskan satu gol dan prestasi yang diberikan semua pemain adalah pada tahap terbaik.
“Semestinya aura sebagai Juara Bertahan dan suntikan semangat untuk menjulang hatrik kemenangan Piala FA menjadi pembakar semangat kepada pemain, bahkan mampu membuat SFC ‘bermandi peluh’.
“Insya-Allah berbekalkan prestasi, semangat dan keazaman ini, saya yakin JDT mampu berdepan dengan sebarang ‘kejutan’,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar semua penyokong turun hadir memberi sokongan dan tidak mencetuskan sebarang provokasi dengan menjaga etika serta disiplin ketika perlawanan berlangsung.
Pertembungan malam esok dianggap bakal menjadi perlawanan hangat apabila pasukan Selangor yang juga muncul juara sebanyak 3 kali dan naib juara 3 kali. Manakala bagi pasukan JDT, mereka bakal menggalas tugas untuk melengkapkan hatrik kejuaraan selaku pembawa status juara bertahan setelah menjulang Trofi Piala FA pada edisi 2022 dan 2023.