Final Piala Malaysia 2024-2025 ditukar pada 26 April

PETALING JAYA: Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 akan berlangsung pada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada pukul 9.00 malam.

Pada asalnya, final edisi ke-98 itu dijadualkan pada 12 April, namun tarikh baharu diputuskan selepas MFL menerima permohonan rasmi daripada Sri Pahang FC serta persetujuan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Penangguhan ini dibuat setelah mengambil kira maklum balas penyokong kedua-dua pasukan yang berdepan kesukaran mendapatkan tiket kerana tarikh asal masih dalam tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan perubahan tarikh ini, kami berharap urusan penjualan tiket final yang dikendalikan pasukan finalis dapat disusun dengan lebih baik bagi memastikan kehadiran penyokong JDT dan Sri Pahang FC, sekali gus menjadikan pentas final lebih meriah,” menurut kenyataan MFL pada Khamis.

MFL turut memaklumkan bahawa semua tiket fizikal dan e-tiket yang telah atau akan dijual dengan tarikh asal 12 April 2025 kekal sah untuk digunakan pada perlawanan akhir pada 26 April 2025.

Susulan perubahan itu, MFL akan membuat pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini dan akan mengumumkan maklumat lanjut dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat