FINAS Jalin Kerjasama Strategik Bersama TikTok Malaysia

BUKIT JALIL: Usaha memperkasa generasi muda dalam bidang kreatif dan digital terus diperkukuh apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI bersempena penutupan Hari Belia Negara 2026 (HBN2026) peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Piazza, Pavilion Bukit Jalil.

Program anjuran Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf belia sebagai pemangkin utama ekonomi digital dan naratif Malaysia MADANI.

Fahmi berkata, program tersebut memainkan peranan penting serta mempunyai signifikan besar dalam pembangunan modal insan belia berkemahiran tinggi, sekali gus menjadi tunjang utama dalam menyokong peralihan pelbagai sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi, selaras dengan keperluan pembangunan negara masa kini.

“Program ini bukan sahaja melahirkan generasi kreatif yang berdaya saing tetapi turut membuka ruang kepada belia untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital negara,” katanya.

Dalam majlis itu, Fahmi turut mengumumkan pelancaran dua inisiatif baharu di bawah FINAS.

“Pertama, Dana Pemangkin Generasi MADANI yang memberi fokus kepada pembangunan kandungan berteraskan aspirasi belia dan Malaysia MADANI melibatkan telefilem, dokumentari, filem pendek dan dokumentari pendek.

“Permohonan bagi dana ini akan dibuka mulai 1 hingga 30 Jun 2026.

“Inisiatif kedua ialah Program Reel MADANI@Kampus, yang menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada 15 institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Program ini bertujuan menggalakkan pelajar menghasilkan kandungan video pendek atau reel berkualiti, kreatif dan berteraskan nilai-nilai Malaysia MADANI untuk penyertaan dalam Festival Filem Pendek & Video (FFPV) anjuran FINAS,” katanya.

Pada majlis yang sama, FINAS turut menyerahkan Letter of Intent (LoI) kepada TikTok Malaysia, menandakan permulaan kerjasama strategik yang bakal membina ekosistem sokongan lebih kukuh dalam usaha melahirkan generasi pencipta kandungan yang berkualiti, beretika dan berdaya saing.

“Dengan kepakaran FINAS dalam pengawalseliaan serta pembangunan industri perfileman dan inovasi TikTok dalam teknologi digital, kolaborasi ini membuka lebih banyak peluang kepada belia tempatan untuk memasarkan karya kreatif mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Maklumat lanjut mengenai Dana Pemangkin Generasi MADANI boleh diperoleh dengan menghubungi 03-41010736 atau e-mel [email protected].

Anda Mungkin Berminat