KUALA LUMPUR: Lebih 10 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terlibat dalam cadangan pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan sesi libat urus itu bersama-sama ahli akademik dari pelbagai bidang.
Menurut FINAS, pindaan itu merangkumi tiga skop utama, iaitu peluasan kawal selia terhadap pembuatan kandungan digital yang semakin berkembang, pengukuhan tadbir urus FINAS untuk pengurusan yang lebih berkesan, dan pemantapan fungsi FINAS dalam menguruskan industri kreatif negara.
“Untuk memudahkan pengumpulan pandangan, format maklum balas bertulis disediakan bagi peserta yang hadir secara fizikal atau dalam talian,” kata FINAS dalam kenyataannya di Facebook pada Rabu.
Sesi berkenaan dihadiri oleh ahli akademik dari lebih 10 universiti terkemuka termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), HELP University, dan Multimedia University (MMU).
“Penyertaan daripada pelbagai IPTA dan IPTS adalah penting untuk mendapatkan pandangan yang lebih holistik dan menyeluruh,” tambah kenyataan FINAS.
FINAS berharap, pandangan yang dikumpul akan digunakan untuk merangka draf Rang Undang-Undang Pindaan Akta 244 yang lebih komprehensif.
Sesi ini turut memberi penekanan kepada usaha untuk memastikan pindaan akta dapat memberi impak positif kepada industri filem negara dan selari dengan perkembangan global.
FINAS merancang untuk menghantar draf pindaan tersebut ke Jabatan Peguam Negara pada April 2025.
Sesi libat urus ini turut melibatkan pegawai kanan FINAS dan Kementerian Komunikasi untuk memastikan proses pindaan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada seluruh ekosistem industri kreatif tanah air.
Baca juga: