PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R. Ramanan Ramakrishnan, mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan namanya untuk menyebarkan maklumat palsu berkaitan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai politik kotor dan terdesak yang semakin berleluasa serta menegaskan bahawa ia perlu ditolak secara tegas.
“Sepertimana yang saya tekankan dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR minggu lalu, gejala penyebaran fitnah kini semakin berleluasa dan sistematik.
Kita tidak boleh berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ramanan turut menggesa anggota parti dan rakyat Malaysia agar bersatu menentang budaya fitnah yang mengancam kestabilan, perpaduan dan semangat reformasi.
“Saya menyeru seluruh anggota parti dan rakyat Malaysia untuk bangkit menentang budaya fitnah ini secara tegas, berani, dan berprinsip.
“Jangan biarkan pihak yang terdesak memporak-perandakan kestabilan, perpaduan, dan semangat reformasi yang telah kita bina bersama,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan melalui pejabatnya atau platform media sosial rasmi.
Tambahnya, sebarang maklumat yang tidak disalurkan melalui sumber rasmi tersebut, katanya, harus diragui kesahihannya.
“Saya menyeru orang ramai khususnya ahli parti dan penyokong untuk lebih berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan penyebaran bahan palsu. Semak fakta sebelum berkongsi,” katanya.
Sementara itu, sebuah foto tular yang dikongsi Ramanan memperlihatkan kenyataan yang mendakwa peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi sebagai bukti nyata kesuburan demokrasi PKR dan suatu dakwaan yang telah dinafikannya.








