MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mengakui telah mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta MARA.
Prosiding diketuai Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim.
Berdasarkan penghakiman itu, Mas Ermieyati bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik dan memadam semua hantaran video di semua platform media sosial, serta membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.

Asyraf Wajdi berkata keputusan mahkamah ini menegaskan bahawa tanggungjawab dan integriti dalam komunikasi awam mesti dijaga, terutama apabila menyentuh reputasi individu dan institusi penting.
“Wang gantirugi RM50,000 tidak akan digunakan secara peribadi, sebaliknya akan dimasukkan ke dalam akaun WAKAF MARA untuk manfaat pelajar miskin, daif dan anak yatim.” Katanya pada Isnin.
Terdahulu, Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menuduh Asyraf Wajdi membazirkan dana Mara melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Baca juga:








