Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Terdapat seorang lagi pemimpin tertinggi Sabah menjadi mangsa tuduhan berhubung penglibatan skandal rasuah berkait penggalian mineral di Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan aktiviti rasuah tersebut.
Armizan Ali di dalam laman Facebook hari ini berkata, kandungan ‘mesej layang’ yang sengaja ditularkan di seluruh media sosial mendakwa beliau terlibat dalam kancah rasuah itu merupakan satu fitnah.
Bagi membersikan namanya kembali, Armizan menggesa kerjasama daripada Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, Ahli Majlis Tertinggi Warisan Calvin Chong dan Bekas Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan untuk membantunya mencari sumber dakwaan tersebut dan pihak yang boleh mengambil tanggungjawab untuk beliai berdepan di mahkamah.
“Saya meminta kedua-dua individu iaitu Jeffery Nor Mohamed (UMNO Sabah), Calvin Chong (Adun parti warisan), Ahmad Hassan yang menyumbang kepada penularan ‘mesej layang’ agar membantu saya mencari sumber dakwaan tersebut.
“Sila bawa ‘wartawan siasatan’ tampil dan beberapa pimpinan keluar dari alam ghaib serta dedahkan segala bukti yang mereka ada, sekiranya watak-watak ini benar-benar wujud,
“Saya berharap Jeffrey, Calvin, Ahmad dan sesiapa sahaja dapat membantu saya mencari pihak yang boleh tampil mengambil tanggungjawab untuk saya berdepan dengan mereka di mahkamah,” katanya.
Katanya, dengan adanya sumber terbabit beserta bukti, beliau sudah boleh melaksanakan tindakan saman dan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
“Dengan adanya sumber itu, saya boleh memulakan tindakan saman fitnah dan mereka perlu mengemukakan segala bukti (sekiranya ada) bahawa tuduhan mereka benar.
“Jangan baling batu, sembunyi tangan. Berani tampilkan diri, ambil tanggungjawab terhadap dakwaan dan kita jumpa di mahkamah.” tegas Armizan.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan tohmahan mengenai kehadiran beliau di Ibu Pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei tahun 2023 yang disifatkan terlibat dengan syarikat kartel mineral.
“Ia merupakan perjumpaan rasmi di antara pengurusan kedua-dua pihak iaitu Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah dan PT Bayan iaitu syarikat senarai awam yang merupakan antara syarikat pembayar cukai terbesar di Indonesia, bukan syarikat-syarikat kartel mineral yang tidak mempunyai sebarang ‘track record’.
“Kehadiran saya disitu bagi menjalankan misi meneliti cadangan pelaburan tulen dan berimpak tinggi sebagaimana kejayaan pelaburan mereka di Indonesia yang juga mengguna pakai ramai tenaga kerja profesional dari Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, penglibatan beliau ketika itu adalah sebagai, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SMM sekaligus menepis dakwaan dua gambar tular yang menunjukkan Armizan melakukan perjumpaan sulit bersama syarikat kartel.
Melihat kepada keadaan itu, Armizan berpendiriaan untuk bertanggungjawab ke atas setiap tindakannya bersandarkan amanah yang diberikan serta berharap semua pihak untuk berpegang kepada prinsip yang sama.
“Sabah tidak boleh dibangunkan bermodalkan fitnah, tetapi atas idea bernas dan komitmen tinggi menggerakkan hala tuju pembangunan negeri.
“Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan hala tuju serta hanya cuba mendapat sokongan rakyat dengan sentimen dan persepsi yang berpaksikan fitnah dan cacian; menuding jari mencari salah orang lain tanpa melihat kepada ‘track record’ sendiri,” katanya.