“Flotilla Datang Dengan Hati, Bukan Dengan Senjata” – Mahfuz

KUALA LUMPUR: “Flotilla datang dengan hati, bukan dengan senjata. Israel pula menunggu dengan peluru, bukan dengan nurani.”

Demikian tegas Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar ketika menempelak tuduhan liar Israel yang melabel aktivis Global Sumud Flotilla sebagai pengganas.

Katanya, dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas, malah cubaan melampau rejim Zionis untuk menutup jenayah sebenar mereka terhadap rakyat Palestin.

“Konvoi ini tidak membawa apa-apa selain makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza yang sengaja dilaparkan dan dizalimi. Mereka datang dengan roti, beras dan ubat… bukan peluru,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mahfuz menegaskan, pengganas sebenar ialah Israel yang terus membedil hospital, mengebom sekolah, membunuh kanak-kanak dan menanam ribuan mayat wanita serta warga emas di bawah runtuhan bangunan.

“Jika membawa bantuan dianggap keganasan, bagaimana pula dengan peluru berpandu yang dilancarkan ke arah bayi tidak berdosa? Inilah wajah hipokrasi Israel yang cuba dibungkus dengan naratif palsu,” katanya lagi.

Beliau menambah, Israel sebenarnya pengecut kerana gentar pada kebenaran yang datang dari rakyat biasa tanpa senjata, hanya berbekalkan solidariti kemanusiaan.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara berdaulat supaya tidak lagi terpedaya dengan label ciptaan Israel, sebaliknya mengiktiraf keberanian aktivis flotilla dan mengambil tindakan tegas terhadap rejim Zionis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat