PARTI Amanah Negara (Amanah) mengecam keras serangan terhadap Global Sumud Flotilla, misi kemanusiaan antarabangsa yang membawa makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan biadab, kejam dan pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau menegaskan siasatan sahaja tidak memadai, sebaliknya dunia perlu bertindak segera untuk memberi mesej bahawa serangan terhadap misi kemanusiaan tidak boleh ditoleransi.
Antara langkah yang dicadangkan ialah sekatan menyeluruh terhadap individu dan entiti terlibat, termasuk penggantungan visa, pembekuan aset serta sekatan kewangan.

Selain itu, Amanah mendesak pelaksanaan embargo senjata, sekatan perdagangan strategik serta penggantungan hubungan diplomatik bagi memberi tekanan kepada Israel.
Mahfuz turut menggesa Israel dirujuk ke mahkamah antarabangsa kerana didakwa melakukan jenayah perang, selain mewujudkan mekanisme antarabangsa untuk melindungi laluan bantuan.
“Serangan terhadap flotila adalah serangan terhadap hati nurani manusia. Dunia mesti bertindak sekarang, bukan esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Global Sumud Flotilla adalah kesinambungan misi kemanusiaan antarabangsa yang digerakkan sejak lebih sedekad lalu bagi menghantar bantuan terus ke Gaza. Sebelum ini, misi serupa seperti Freedom Flotilla turut berdepan serangan dan sekatan daripada pihak berkuasa Israel.
Baca juga:








