KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pemeteraian rasmi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA), yang dimeterai pada 23 Jun 2025 di Oslo, Norway, sebagai langkah strategik memperkukuh daya saing sektor pembuatan negara.
Presiden FMM, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai berkata, perjanjian itu memberi limpahan manfaat kepada industri tempatan terutama dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan landskap geopolitik yang sedang berubah.
“Ini membuka laluan kukuh untuk pengeluar Malaysia khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menembusi pasaran Eropah yang bernilai tinggi secara lebih stabil dan kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, lebih 90 peratus eksport Malaysia ke negara anggota EFTA akan menikmati akses bebas cukai secara jangka panjang menerusi perjanjian ini dan menjadikannya peluang besar buat pengeluar tempatan.
Selain penghapusan tarif, MEEPA turut merangkumi komitmen kerjasama dalam bidang seperti mobiliti hijau dan pendigitalan, inisiatif yang dijangka meningkatkan pelaburan berteknologi tinggi dan inovasi ke dalam ekosistem industri Malaysia.
Tambah Soh, perjanjian itu mencerminkan komitmen kukuh Malaysia terhadap perdagangan terbuka dan kerjasama pelbagai hala, seiring agenda transformasi ekonomi negara.
Dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan EFTA mencecah RM14.4 bilion pada 2024, MEEPA dijangka mengukuhkan prestasi eksport negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global yang lebih berdaya tahan.
“FMM menggalakkan pemain industri untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dan kami komited membantu syarikat tempatan mengembangkan pasaran eksport melalui kerangka perdagangan penting ini,” katanya.