Fokus Baharu Pacu Pertanian Mampan, Berteknologi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara, yang menyaksikan perbincangan menyeluruh mengenai strategi memperkasa sektor pertanian negara dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks.

Mesyuarat tersebut berlangsung dalam suasana yang penuh tumpuan, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal menjadi landasan kepada pendekatan baharu dalam pembangunan sektor pertanian negara.

“Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sektor pertanian perlu diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran beliau selepas mesyuarat.

Menurut Anwar, satu dasar sedang dimuktamadkan sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan dengan pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti.

Katanya, dasar itu akan memberi penekanan kepada lima teras utama.

“Justeru, dasar tersebut akan memberi penumpuan kepada pengeluaran pertanian dan agromakanan yang cekap dan produktif, kemampanan sistem agromakanan, diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang dan pertumbuhan ekonomi yg terangkum,” katanya.

Bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan berkesan, Anwar berkata, kerajaan turut merancang untuk memperkenalkan perundangan khusus yang akan menyelaras dan menyeragamkan tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat.

“Dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dasar serta tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat.

“Langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus, selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat