PETALING JAYA: Perjuangan kemanusiaan terhadap Palestin harus kekal tertumpu kepada matlamat sebenar iaitu pembebasan total rakyat Palestin daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis dan bukan beralih kepada kisah individu atau personaliti misi, kata, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan 23 sukarelawan Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla Nusantara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang disifatkan sebagai ‘insan pemberani’ yang membawa mesej solidariti dan kemanusiaan ke pentas dunia.
“Setiap langkah para relawan adalah simbol keberanian, setiap titisan peluh mereka ialah sumbangan kepada perjuangan kemanusiaan dan setiap detik perjalanan mereka membuktikan dunia belum sunyi daripada manusia berhati nurani,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengingatkan masyarakat dunia agar tidak terpesong daripada fokus utama perjuangan ini iaitu nasib rakyat Palestin yang telah menjadi mangsa penjajahan selama lebih tujuh dekad.
Gaza, katanya, telah dikepung selama lebih 18 tahun, menyebabkan rakyatnya terputus hubungan dengan dunia luar dan hidup dalam penderitaan berpanjangan.
“Jangan alihkan fokus. Apabila misi solidariti menjadi lebih banyak tentang personaliti daripada perjuangan, kita sedang mengalih tumpuan daripada apa yang benar-benar penting,” katanya.
Aiman Athirah turut menggariskan empat tuntutan utama dalam solidariti kemanusiaan terhadap Palestin iaitu penamatan segera pendudukan Israel, hak pulang pelarian Palestin, pembebasan tahanan politik dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Beliau menambah, misi seperti Freedom Flotilla dan Sumud Flotilla tidak akan lagi diperlukan sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa-kuasa dunia menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjamin keamanan sejagat yang bebas daripada penjajahan dan penindasan.
Program flotilla ke Gaza terus menjadi perhatian global dengan Malaysia memainkan peranan aktif menghantar pasukan aktivis kemanusiaan dalam beberapa misi terdahulu.
Misi Global Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air selepas disekat oleh pihak berkuasa Israel ketika cuba menghantar bantuan ke Gaza, menjadi bukti bahawa suara solidariti Malaysia terus bergema di pentas antarabangsa.