Oleh: Farah Faizal
PETALING JAYA: Semua ahli Amanah dinasihatkan agar tidak membangkitkan sebarang isu atau tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota melalui media.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan isu tuntutan kerusi DUN Mahkota itu tidak perlu dibincangkan secara terbuka memandangkan ia masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, beliau turut meminta semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada PRK Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
“Amanah terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menerusi sidang akhbar pada Isnin mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.
Mohd Zuhan berkata, Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan kenyataan Mohd Zuhan itu dan menyifatkan desakan supaya calon Amanah bertanding sebagai gelojoh dan tamak.