FOM Agama Puas Hati Penjelasan TH Terkait Kos Penjenamaan Semula

PARLIMEN | Rakan Kementerian Hal Ehwal Agama (FOM Agama) menyatakan rasa puas hati terhadap penjelasan Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung isu penjenamaan semula yang menjadi tular dan mencetuskan keresahan awam kebelakangan ini.

Kenyataan itu dibuat susulan sesi tabayyun dan perbincangan rasmi antara FOM Agama dan pengurusan tertinggi TH yang berlangsung pada 27 Ogos di Ibu Pejabat Tabung Haji, Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Rashid Hussain serta beberapa ahli lembaga pengarah lain.

Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan memaklumkan bahawa jumlah sebenar kos penjenamaan semula hanyalah RM5.9 juta untuk tempoh tiga tahun, jauh lebih rendah daripada dakwaan RM20 juta yang tular sebelum ini.

Beliau berkata, tiada kos tersembunyi terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut.

“Kami menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah hingga menjejaskan kredibiliti Tabung Haji.

“Elakkan mempolitikkan institusi ini,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

Aminolhuda turut memaklumkan bahawa amalan perolehan secara runding terus di TH telah berkurang secara konsisten iaitu 16 peratus pada 2022, 15 peratus pada 2023 dan 12 peratus pada 2024 yang menunjukkan usaha berterusan untuk memperkukuh tadbir urus selaras dengan dasar Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, Tabung Haji wajar terus diberi sokongan sebagai institusi ekonomi dan ibadah utama umat Islam di Malaysia, yang telah lama menjadi lambang kepercayaan dan pengurusan haji yang berintegriti.

Isu penjenamaan semula ini mula mendapat perhatian selepas dakwaan kos mencecah RM20 juta tersebar di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi.

Anda Mungkin Berminat