KUALA LUMPUR: Friends of Ministry (FOM) menyatakan sokongan penuh terhadap penjelasan tegas Menteri Agama berhubung dakwaan pembangkang mengenai pelantikan syarikat bukan bumiputera dalam kontrak Lembaga Tabung Haji (TH).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, FOM menegaskan tuduhan kononnya kerajaan melantik sebuah syarikat bukan bumiputera dengan kontrak bernilai RM20 juta bagi kerja penjenamaan TH adalah tidak benar, tidak bertanggungjawab dan bermotif politik.
“Fakta yang dikemukakan Menteri Agama jelas menunjukkan sebaliknya.
“Sepanjang pentadbiran pembangkang yang menerajui portfolio agama dari Mac 2021 hingga November 2022, sebanyak 23 syarikat bukan bumiputera telah menerima kontrak berjumlah lebih RM55 juta,” menurut kenyataan itu.
FOM menjelaskan, isu yang dibangkitkan pembangkang tidak wajar diputarbelit sebagai soal kaum atau perkauman, sebaliknya melibatkan soal profesionalisme, integriti dan tadbir urus.
“Proses pelantikan vendor TH, katanya, dibuat secara teliti mengikut polisi perolehan korporat dan diluluskan Lembaga Pengarah mengikut prinsip tadbir urus terbaik.
“Lebih penting, Tabung Haji kekal konsisten mendokong agenda pemerkasaan ekonomi ummah.
“Pada tahun 2024, sebanyak 81 peratus vendor TH adalah syarikat bumiputera, merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi,” jelas FOM.
Kenyataan itu turut menyifatkan tindakan pembangkang memainkan isu perkauman sebagai usaha terdesak untuk mengelirukan rakyat dan merosakkan kredibiliti institusi umat Islam yang penting di negara ini.
“FOM berdiri teguh menyokong langkah Menteri Agama serta pengurusan TH dalam memastikan tadbir urus yang telus, profesional dan sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit,” tambah kenyataan itu.
Baca juga: