PETALING JAYA: Program Food Bank Siswa di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus menjadi tonggak penting dalam membantu mahasiswa mendapatkan bekalan makanan khususnya melalui usaha penyelamatan serta pengagihan lebihan makanan.
Dilancarkan sejak 2019, program itu kini berkembang ke 32 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, merangkumi universiti awam dan swasta, Politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menurut KPDN, sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 148 entiti termasuk industri makanan, peruncit, rangkaian hotel dan NGO telah tampil memberi sumbangan.
Hasilnya, lebih 51,200 mahasiswa yang memerlukan di seluruh negara telah menerima manfaat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan pelajar.
“Sejak 2019 hingga 31 Oktober 2025, Program Food Bank Siswa telah memberi manfaat kepada lebih 51,200 mahasiswa melalui sumbangan 148 entiti industri, peruncit, rangkaian hotel dan NGO,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) sebagai rakan strategik utama dalam menggerakkan program ini.
“KPDN akan terus memperkukuh peranan Gerakan Pengguna Siswa sebagai pemegang taruh penting dalam menggerakkan Program Food Bank Siswa khususnya di IPT yang masih belum mempunyai program ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Setakat ini katanya, terdapat 195 GPS di seluruh negara, meliputi IPT awam, swasta, kolej komuniti, kolej universiti serta IPG.
Baru-baru ini, KPDN menganjurkan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 di Bangi, Selangor.
Armizan berkata, hasil resolusi konvensyen tersebut akan menjadi asas kepada hala tuju baharu program.
“Hasil resolusi Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 akan menjadi input utama kepada penyediaan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030, selaras dengan komitmen Matlamat Pembangunan Mampan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pelan tindakan baharu ini juga merupakan sebahagian daripada strategi memperkukuh Tonggak Keempat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), iaitu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.








