Forklift hilang keseimbangan, seorang pekerja maut

PULAU PINANG: Seorang pekerja lelaki warganegara asing meninggal dunia dipercayai dihempap jentera pengangkut (forklift) di sebuah kilang pembuatan di daerah Pulau Pinang pada Isnin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang memaklumkan mangsa merupakan pemandu forklift di kilang tersebut.

“Sebelum kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja mengangkat dan memindahkan barang-barang di dalam kawasan logistik di kilang tersebut.

“Mangsa dilaporkan dihempap oleh forklift yang hilang keseimbangan semasa mangsa memindah barang-barang tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam masa sama, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Jelasnya, majikan turut diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembetangan kes kepada Jabatan.

“Ia menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat