Format Baharu Bil Elektrik Lebih Telus, Mesra Pengguna

PETALING JAYA: Mulai Julai ini, pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menerima bil elektrik dalam dua versi iaitu satu berwajah lama dan satu lagi diperkenal dengan wajah baharu yang lebih terperinci dan telus.

Perubahan itu susulan pelaksanaan penstrukturan semula tarif elektrik yang diumumkan kerajaan baru-baru ini yang bertujuan meningkatkan pemahaman serta ketelusan dalam penggunaan tenaga elektrik.

Pendidik kewangan, Faiz Azmi, menerusi satu video di TikTok, tampil memberi pencerahan dan berkata, perubahan itu bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan.

“Jangan panik, bil baru ini sebenarnya lebih telus dan lebih senang untuk difahami,” ujarnya dalam video yang kini meraih ribuan tontonan.

Menurutnya, untuk bulan Julai, pengguna akan menerima dua bil berbeza, di mana satu dalam format lama dan satu lagi dalam format baharu.

Bermula Ogos nanti, katanya, hanya bil dalam format baharu akan digunakan sepenuhnya.

Bertambah menarik ujarnya, sistem itemisasi dalam bil baharu akan memaparkan semua caj secara berasingan termasuk caj penggunaan elektrik, pelarasan kos bahan api, operasi loji janakuasa, kos rangkaian dan juga perkhidmatan peruncitan seperti bacaan meter serta aplikasi MyTNB.

Caj asas bagi penggunaan tenaga dikekalkan, namun pelarasan bahan api kini bergantung kepada harga pasaran global.

Ini bermakna, bil bulanan berpotensi untuk naik atau turun bergantung pada faktor luaran tersebut.

“Sekarang dah tak ada bil yang buat kita pening nak kira. Semua caj dipaparkan secara jelas, jadi pengguna boleh tahu ke mana setiap sen dibelanjakan,” tambah Faiz.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna meluangkan sedikit masa untuk memahami struktur baharu ini bagi mengelakkan kekeliruan terutamanya apabila menerima dua versi bil dalam bulan yang sama.

Tambahnya, langkah itu akan memudahkan pengguna membuat semakan dan merancang penggunaan elektrik dengan lebih bijak.

Anda Mungkin Berminat