Forum GERAMM: Wartawan sebenar terpaksa bersaing laporan salah media ‘terjun’

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dunia media dan kewartawanan secara realitinya sering dibelenggu dengan pelbagai serangan ancaman dari pelbagai sisi samada secara fizikal mahupun mental.

Isu yang disifatkan berat itu menjadi topik di sesi forum kedua yang dianjurkan oleh Gerakan Media Merdeka (GERAMM) bersempena sambutan Hari Kebebasan Media 2025 di Gerak Budaya, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sesi kedua forum tersebut memberi tumpuan kepada tajuk ‘Kebebasan Bilik Berita dan Tekanan yang Dihadapi oleh Wartawan’ dengan barisan panel yang terdiri daripada Ketua Pengarang Media Selangor Fathi Aris Omar, Ketua Editor Malaysia World News Norila Daud yang juga Naib Presiden Confederation of ASEAN Journalist serta Ketua Bilik Berita Narasi daripada Indonesia Laban Abraham Laisila.

Sesi forum tersebut dikendalikan oleh wartawan penyiaran Haslina AR Kamaludin.

Menurut Fathi Aris Omar, Malaysia masih lagi belum mempunyai revolusi pelaporan media yang semak dan imbang susulan ekosistem semasanya sehingga berisiko mencetuskan ancaman buat dunia media di negara ini.

“Malaysia belum berevolusi dengan pelaporan yang ‘fair and balance.

“Terlalu banyak tema politik turut membuatkan isu penting yang lain seperti alam sekitar, kebersihan, pendidikan sering terpinggir dalam liputan berita.” katanya.

Sementara itu, Norila Daud turut mengulas mengenai ancaman yang dicetuskan oleh warga atas talian yang berpusu-pusu menjadi media terjun di dalam penyebaran berita sehingga memaparkan hujah serta fakta yang tidak sahih.

Sehinggakan katanya, pengamal media terpaksa bersaing mendepani hal itu bagi mengaut kembali kepercayaan masyarakat terhadap wartawan di Malaysia ini.

Norila turut menepis kenyataan bahawa media cetak sudah mati yang telan dek arus media digital.

“Media cetak tidak mati, cuma kita berdepan dengan maklumat yang perlunya pengguna menjadi lebih serta matang dalam memilih,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penubuhan Majlis Media Malaysia yang diwujudkan oleh kerajaan kini yang menyifatkan ia langkah penting buat industri media di negara ini.

Manakala panelis dari Indonesia, Laban Abraham Laila yang merupakan Ketua Bilik Berita Narasi mendedahkan jenis-jenis ancaman yang sering berlaku sewaktu beliau aktif dalam pelaporan berita di negara itu.

Antaranya, tiada satu pun media yang benar-benar bebas kerana semuanya dimiliki oleh parti-parti tertentu, yang secara tidak langsung mempengaruhi arah dan kandungan laporan mereka.

Selain itu katanya, bilik berita pula sering dikawal oleh pemilik syarikat media, menjadikan kebebasan editorial sangat terhad.

“Sebahagian besar saham syarikat media dimiliki oleh pihak awam yang berpengaruh dan mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju penerbitan

“Keadaan ini menyukarkan media untuk bersifat neutral dan bebas dalam melaporkan isu-isu semasa,” ujar Laban.

Di akhir forum turut menyimpulkan bahawa, wartawan mesti berani perjuangkan kebebasan, tapi secara bertanggungjawab serta kerajaan disarankan untuk tidak terlau takut jangan dengan media.

“Kami bantu mengembangkan dan menyelia kerajaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat