Pertarungan tinju selebriti, Fury Championship di Zepp Kuala Lumpur malam tadi menyaksikan pelakon Hun Haqeem tumpas dan terpaksa akur dengan kekalahan di tangan rakan baiknya sendiri, Ikmal Amry pada pusingan pertama.
Hun, 26, mengalami pendarahan di muka serta kecederaan lutut yang pernah dibedah akibat masalah di ligamen utama lutut. Dia dilihat menangis dan dipapah keluar dari gelanggang ke bilik persalinan.
“Saya mohon maaf kerana gagal memberi persembahan terbaik. Lutut saya rasa seperti meletup, tapi saya akan bangkit semula,” kata Hun.
Sementara itu, Ikmal mengakui berat hati untuk berlawan dengan sahabatnya sendiri, apatah lagi melihat Hun berdarah selepas tumbukan pertama.
“Saya mula rasa serba salah, tetapi jurulatih minta saya terus fokus. Saya harap Hun cepat sembuh,” katanya.
Ikmal berkata bahawa buat masa ini, dia tidak berhasrat untuk bertarung semula dengan Hun, dan lebih mengutamakan pemulihan penuh sahabatnya itu sebelum mempertimbangkan sebarang perlawanan lagi.
Fury Championship menampilkan 18 peserta termasuk selebriti dan atlet profesional dari Malaysia dan Indonesia dalam aksi tinju serta muay Thai.
Baca juga: