KUALA LUMPUR: Datuk Dr Fuziah Salleh dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan keputusan Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang diadakan hari ini.
Dalam mesyuarat sama, beberapa pelantikan semula turut dibuat, termasuk William Leong yang dikekalkan sebagai Bendahari Agung, manakala Datuk Fahmi Fadzil dilantik semula sebagai Ketua Penerangan.
Menurut Fahmi dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama, dengan Saifuddin turut menyertai barisan Biro Politik.
Sementara itu, Datuk Mustapha Sakmud dikekalkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
“Mesyuarat turut merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan bekas Timbalan Presiden serta pimpinan lain, dan berharap mereka akan terus menyumbang kepada parti serta perjuangan,” katanya.
Fahmi menambah, mesyuarat turut meneliti perkembangan semasa melibatkan isu geopolitik dan ekonomi global, selain membincangkan persiapan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Baca juga: