PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh menegaskan pelantikan vendor baharu bagi sistem pengundian parti telah dibuat secara telus dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sekali gus menafikan dakwaan bahawa keputusan itu dilakukan secara rahsia.
Menurut Fuziah, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang hadir dalam mesyuarat tersebut tidak membangkitkan sebarang bantahan terhadap vendor baharu itu.
“Isu vendor tidak pernah timbul dalam mesyuarat dan beliau tidak pernah pertikai siapa vendor itu atau peranan mereka,” katanya memetik laporan media tempatan.
Tegas Fuziah, pelantikan vendor baharu dibuat selepas keputusan untuk tidak lagi menggunakan vendor sebelum ini yang berpangkalan di luar negara, berikutan isu komunikasi dan logistik.
Jelasnya, keputusan tersebut turut dipersetujui oleh biro politik parti.
“Sebagai langkah penambahbaikan, PKR memilih untuk menaik taraf aplikasi sedia ada, adil, dengan ciri keselamatan baharu seperti penggunaan teknologi blockchain dan pengecaman wajah.
“Proses penambahbaikan itu termasuk pemindahan data dari vendor lama juga dikendalikan vendor baharu,” katanya lagi.
Fuziah menambah, keputusan untuk meneruskan penggunaan sistem pengundian elektronik telah dicapai seawal 30 November dan dipersetujui oleh MPP.
“Tidak seperti pelantikan juruaudit yang memang melalui beberapa rundingan sebelum kata sepakat, isu vendor ini tidak pernah menjadi pertikaian,” katanya lagi.