PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil bahagian dalam pelancaran ‘Global Alliance against Hunger and Poverty’ semasa Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro.
Anwar berkata, inisiatif itu bertujuan membasmi kemiskinan dan kebuluran global, selaras dengan tekad kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
“Ia selaras dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan tegar,” katanya.
Pelancaran itu diusulkan oleh Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan mendapat sokongan daripada negara-negara maju seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom serta institusi seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).
Inisiatif berkenaan akan mengumpulkan sumber daya dan pengetahuan untuk menerapkan kebijakan dan teknologi sosial yang telah terbukti efektif dalam mengurangi kemiskinan dan kebuluran di seluruh dunia.
Beberapa fokus utama inisiatif ini termasuk mengembangkan program ‘transfer’ tunai untuk mencapai 500 juta orang, memberikan makanan sekolah kepada tambahan 150 juta kanak-kanak dan menyediakan bantuan kesihatan kepada 200 juta kanak-kanak hingga usia enam tahun dan wanita hamil.
Sementara itu, konsep MADANI di Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mengatasi kemiskinan tegar.
Konsep ini berlandaskan enam nilai inti iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.