KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berada dalam landasan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Menurut beliau, BNM menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2025 kepada antara 4 hingga 4.8 peratus, selaras dengan perkembangan semasa perdagangan global.
“Pertumbuhan ini masih disokong oleh permintaan domestik yang mampan serta pelaburan strategik yang berterusan dalam infrastruktur di bawah agenda pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis MyFintech Week 2025 di ibu negara, hari ini.
Tambahnya, kadar inflasi pula dijangka kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.3 peratus, disumbangkan oleh penurunan kos serta kestabilan permintaan dalam pasaran.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed menegaskan bahawa reformasi struktur ekonomi kekal sebagai asas ketahanan negara dalam menghadapi cabaran luar.
Katanya lagi, reformasi ini turut menyokong disiplin fiskal, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas peluang ekonomi kepada rakyat.
“Malaysia sedang mencapai kemajuan dalam bidang strategik seperti peralihan tenaga, pembangunan infrastruktur digital dan sektor pembuatan bernilai tinggi.
“Usaha ini katanya, akan terus memperkukuh asas bagi membina sebuah ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing.” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa reformasi ekonomi bukan hanya penting untuk pertumbuhan jangka panjang, tetapi juga untuk kestabilan mata wang negara.
Baca juga:








