Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah stesen minyak Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, suspek berusia 35 tahun ditahan di Lebuhraya Kota Iskandar pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 26 tahun yang mendakwa dipukul oleh suami kawannya.
“Suspek juga membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Hasil soal siasat ke atas pengadu dan suspek, kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibrahim berkata, permohonan reman dilakukan terhadap suspek bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular video pergaduhan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.
Video turut memaparkan seorang lelaki berbaju hitam menumbuk seorang lelaki dan dihalang seorang wanita yang turut ditumbuk lelaki terbabit.








