PARLIMEN | Kerajaan Malaysia terus memperkukuh kebajikan penjawat awam melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), satu reformasi menyeluruh yang menekankan prinsip keadilan, tanggungjawab dan kemampuan fiskal negara.
Di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menjelaskan bahawa pemberian elaun di bawah SSPA bukan bersifat sejagat, sebaliknya bersasar mengikut keperluan dan risiko tugas.
“Pertama, ia tidak sejagat iaitu hanya diberikan kepada kumpulan atau perkhidmatan tertentu.
“Kedua, tidak kekal kerana hanya untuk keadaan tertentu mengikut tugas dan gred jawatan.
“Ketiga, tidak biasa iaitu bersifat sementara dan boleh dihentikan selepas tamat kelulusan. Keempat, ia mesti adil dan bersasar,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang membangkitkan isu asas penetapan elaun dan kenaikan gaji dalam perkhidmatan awam.
SSPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) mula dilaksanakan pada Disember 2024 dan memberi tumpuan kepada peningkatan kuasa beli, kesejahteraan pegawai serta produktiviti sektor awam.
“SSPA diperkenalkan untuk memperbaharui sistem saraan sedia ada dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kuasa beli, kesejahteraan pegawai serta kemampuan fiskal negara.
“Faktor kos sara hidup, termasuk penjawat awam yang berkhidmat di Langkawi turut diambil kira dalam kajian awal,” jelas Dr Zaliha.
Penjawat awam yang memilih skim baharu ini menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, dengan lapan peratus telah dilaksanakan pada 1 Disember 2024 dan baki tujuh peratus akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Sebagai tambahan, kerajaan turut memperkenalkan bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM1,000 kepada pegawai JUSA.
Langkah ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli golongan yang terlibat.